Gagak Di Rimba

Sunday, October 5, 2008

Begitukah akhlak pemimpin UMNO?

Meskipun Ahmad Zahid Hamidi bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan sudah lama menjadi ahli MT UMNO, tetapi apabila dia membuat pengumuman untuk menjadi salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO, banyak juga orang yang mempertikaikannya.

Dia dianggap masih "junior" dan belum layak untuk terus bertanding kerusi Timbalan Presiden. Malah ada juga yang menganggap dia seorang yang "gelojoh". Tambahan pula pengumuman itu dibuat sebelum Abdullah membuat kenyataan rasmi tentang penyerahan kuasa kepada timbalannya, Najib.

Apabila Ali Rustam pula membuat pengumuman untuk menjadi calon Timbalan Presdien UMNO, saya rasa tidak banyak orang yang mempertikaikannya, kerana Ali Rustam adalah penyandang jawatan Naib Presiden. Jadi tentu ada juga kewajarannya jika beliau nahukan jawatan yang lebih tinggi. Yang mungkin boleh dipertikaikan barangkali ialah kaliber Ali Rustam, iaitu beliaukah orangnya yang layak menyandang jawatan Timbalan Presiden?

Akan tetapi, apabila Nor Jazlan, seorang ketua bahagian pula membuat pengumuman untuk menjadi calon Timbalan Presdien UMNO, saya tidak tahu apakah dia hanya hendak kacau daun, hendak publisiti murah atau hanya hendak main-main?

Kita barangkali tidak perlu memperkecilkan Nor Jazlan. Tapi saya tidak tahu adakah di kalangan ahli UMNO ada yang menganggap dia layak menjadi calon, apatah lagi memegang jawatan itu?.

Saya kira sama ada dia bertindak secara serius atau main-main, tindakannnya itu tidak dapat tidak membayangkan juga akhlak seorang pemimpin UMNO.

Tidak ada untungnya dia membuat pengumuman itu, walaupun barangkali dia telah mendapat sedikit publisiti murah. Itu pun saya tidak tahu mengapa ada juga akhbar yang mahu menyiarkan pengumumannya itu.

Yang saya tidak tahu hendak jawab ialah, bagaimana jika ada orang bertanya, begitukah akhlak pemimpin UMNO?

Saturday, October 4, 2008

Khalid Ibrahim terpaksa "membuang masa"

Menarik juga melihat perubahan yang dilakukan oleh Khalid Ibrahim, MB Selangor baharu-baharu ini.

Ketika berlaku ribut yang merosakkan beberapa rumah penduduk di daerah Kelang tempoh hari, beliau tidak mahu berkunjung ke kampung itu, dengan alasan perbuatan itu "membuang masa".

Sebagaimana yang kita tahu, tindakan beliau itu telah mendapat kritikan daripada banyak pihak , dan dimanipulasi beliau oleh akhbar Utusan Malaysia dan lain-lain untuk memburukan beliau.

Oleh itu, tidaklah menghairankan, jika ketika berlaku kebakaran di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor semalam ( 4 September 2008), Khalid sanggup pula "membuang masa" dengan melawat mangsa kebakaran di kampung itu.

Sebenarnya, banyak yang dilakukan oleh pemimpin politik kita pada masa yang lalu dan sehingga kini, seperti melawat mangsa ribut, mangsa kebakaran, mangsa banjir, orang mati, orang sakit dan sebagainya adalah kerja yang "membuang masa". Kerja-kerja seperti itu sebenarnya menghalang mereka daripada membaca, membuat rujukan dan sebagainya yang lebih berkaitan dengan tugas mereka sebagai penggubal undang-undang dan pentadbir, sedangkan kerja-kerja itu bukan tidak ada jabatan dan pegawai kerajaan yang sepatutnya menanganinya.

Malangnya, sejak dulu hingga sekarang masyarakat kita saya rasa mempunyai persepsi yang salah, atau sekurang-kurangnya tidak tepat tentang tugas seorang pemimpin politik (khasnya wakil rakyat). Wakil rakyat seolah-olah hendak "dibebankan" dengan semua hal. Kalau dia melawat orang mati, adalah dianggap bagus sekali jika dia ikut memikul mayat hingga ke kubur.Kalau dia melawat majlis kenduri di kampungnya, adalah dianggap bagus sekali jika dia ikut membasuh pinggan!

Saya tidak menganggap hal itu sebagai betul dan perlu diteruskan selama-lamanya. Itu bukan tugas wakil rakyat yang hakiki. Dan rasanya bukan di negara-negara maju.

Dengan ikut memikul mayat atau mencuci pinggan, wakil rakyat itu mungkin akan menjadi wakil rakyat yang paling popular (seperti yang dilakukan oleh Cikgu Jabar, wakil rakyat kawasan Morib satu masa dahulu). Akan tetapi, dengan berbuat seperti itu dia tidak semestinya akan menjadi wakil rakyat yang baik dan berkesan.

Bagaimanapun, saya memahami juga, masyarakat kita lambat berubah. Budaya politik masyarakat kita (khasnya masyarakat Melayu) masih sanggat mengharapkan seorang pemimpin politik akan datang melawat apabila berlaku ribut, banjir, kebakaran dan sebagainya. Menunjukkan muka itu rupanya sangat penting bagi seorang pemimpin politik.

Ini memang realiti politik dan tuntutan politik semasa yang terpaksa dihadapi oleh pemimpin politik, khasnya wakil rakyat, MB, menteri dan sebagainya.

Khalid Ibrahim terpaksa memenuhi tuntutan politik ini untuk meneruskan kerjaya politiknya, walaupun dengan berbuat begitu dia sebenarnya "membuang masa".

Monday, September 29, 2008

Semua pemimpin UMNO sayangkan kedudukan dan kuasa

Dalam politik Melayu, termasuk politik UMNO, tidak ada tradisi seseorang pemimpin itu meninggalkan atau melepaskan jawatannya dengan mudah. Seorang menteri mahu memegang jawatan itu berpuluh tahun. Seorang wakil rakyat pula mahu bergayut pada jawatannya sampai empat lima penggal.

Jika tidak digugurkan dan tidak mengalamai keuzuran, mungkin ada juga yang mahu memegang jawatannya sampai mati!

Antara sebabnya barangkali sebelum memegang jawatan itu pada umumnya mereka bukanlah "orang kaya". Hanya selepas memegang jawatan dan kuasa, barulah mereka dapat mengumpul harta dan kekayaan, dan ada kalanya dengan mudah pula.

Peluang mengumpul harta dan kekayaan itu mungkin terlepas dari tangan mereka selepas mereka tidak memegang jawatan lagi. Pada masa yang sama, dalam politik kita, kecuali seorang dua, seorang bekas pemimpin bukan saja tidak lagi dihormati, tapi begitu lekas dilupakan orang. Ini mungkin merupakan mimpi ngeri bagi seorang bekas pemimpin yang dahulunya begitu disanjung tinggi dan dihormati.

Oleh yang demikian, jika PM kita sekarang, Abdullah Badawi, nampaknya begitu sukar melepaskan jawatannnya, patut juga kita lihat dari perspektif ini.

Dan saya kira pimpinan UMNO yang lain, seperti ahli MT UMNO, juga tahu hal ini. Mereka pun termasuk dalam golongan yang tidak mudah berundur dari jawatan masing-masing.

Oleh yang demikian, jika ahli-ahli MT UMNO tidak keberatan memberi sedikit masa kepada Abdullah sebelum mengundurkan diri, sikap dan pendirian mereka mungkin perlu juga kita fahami dari perspektif ini.

Atas sikap yang sama dan kepentingan bersama, mereka nampaknya mahu memberi peluang kepada Abdullah supaya berundur secara terhormat; mungkin menjelang bulan Mac 2009 nanti.

Untuk menjustifikasikan hal itu, maka dikatakanlah itu "tradisi UMNO". Mungkin benar itu tradisi UMNO. Tapi yang tidak kurang benarnya ialah memang tidak ada dalam tradisi UMNO seseorang pemimpinnya akan melepaskan jawatannya dengan mudah!

Semua sayangkan kedudukan, pangkat dan kuasa, sebab melalui kedudukan, pangkat dan kuasa itulah mereka nampaknya begitu mudah mengumpul harta dan kekayaan.

DEB masih relevan?

Dasar Ekonomi Baru (DEB) mempunyai dua matlamat: pertama, menyusun semula masyarakat dan kedua, membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Penyusunan semula masyarakat itu akan direalisasikan dengan penguasaan ekonomi: 30% oleh bumiptera, 40% oleh bukan bumiputera dan 30% yang selebihnya oleh kepentingan asing.

Saya kira, setelah hampir 40 tahun dasar itu berjalan (walaupun secara teorimya sudah "ditamatkan" pada tahun 1990 ( ?) matlamat pertama itulah yang banyak dipersoalkan oleh banyak pihak.

Orang Melayu, orang UMNO khususnya, menyatakan matlamat penguasaan ekonomi sebanyak 30% oleh kaum bumiputera itu masih belum tercapai. Oleh itu, mereka mahu dasar itu diteruskan, paling kurang dari segi "semangatnya".

Orang bukan Melayu pula ada yang berpendapat bahawa penguasaan ekonomi oleh kaum bumiputera sebenarnya sudah melebihi 30%. Ada badan pemikir bukan bumiputera (ASLI) yang mengemukakan data dan analisis mereka tentang hal tersebut. Dengan itu, bagi mereka tentulah DEB itu tidak perlu diteruskan lagi.

Sementara itu, ada pula tokoh-tokoh parti pembangkang, Melayu dan bukan Melayu, yang menganggap DEB itu telah disalahgunakan oleh orang-orang UMNO ( elit UMNO tentunya) untuk kepentingan mereka sendiri, malah merekalah yang membolot faedah DEB itu atas nama bumiputera. Oleh itu, mereka menganggap DEB itu lebih baik dihapuskan sahaja, kerana tidak memberi faedah kepada majoriti rakyat.

Kita pernah mendengar Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim (MB Selangor) dan Lim Eng Guan, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang mengeluarkan pendapat seperti ini atau kira-kira seperti ini.

Yang terakhir, kita mendengar pula Chua Jui Meng, bekas Naib Presiden MCA yang akan bertanding jawatan Presiden MCA menyatakan matlamat pertama DEB (penstrukturan semula masyarakat) sudah tidak relevan.

Beliau tidak menyebut sama ada penguasaan ekonomi oleh bumiputera sudah mencapai 30% atau tidak. Tapi katanya dasar itu "telah menjadikan majoriti kaum Melayu berjaya, berdaya saing dan majju" (Utusan Malaysia, 20 Oktober 2008). UNDP pula katanya pernah menyatakan "kaum Melayu adalah salah satu bangsa paling berjaya menghasilkan kelas pertengahan yang besar dalam masa paling singkat di dunia" (Utusan Melayu, Ibid).

Walaupun ketepatan penilaian Chua Jui Meng itu masih boleh dipersoalkan, tapi ia merupakan manifestasi yang jelas tentang penolakan orang Cina terhadap matlamat pertama DEB.

Sementara itu, Chua Jui Meng masih menganggap matlamat kedua DEB (membasmi kemiskinan) masih relevan, dan setakat itulah saja DEB masih boleh dipertahankan.

Saya tidak begitu pasti bagaimana pendapat tokoh-tokoh pembangkang Melayu dan bukan Melayu tentang matlamat DEB yang kedua ini.

Akan tetapi, jika mereka mahu bersikap realistik dan menerima kenyataan, kemiskinan relatif dan kemiskinan tegar masih wujud di negara ini, dan kemiskinan relatif mungkin semakin meningkat dengan peningkatan harga barang, inflasi dan sebagainya.

Oleh itu, jika matlamat pertama DEB sukar untuk dipertahankan, matlamat kedua DEB saya rasa masih relevan dan belum kelihatan ketidakrelevanannya. Dengan itu, DEB juga mungkin masih boleh dipertahankan, paling kurang untuk mencapai matlamatnya yang kedua (membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum).

Saturday, September 27, 2008

Salam Perkenalan

Ini blog baruku dengan nama pena yang baru, yang ada kaitan dengan nama orang Banjar.
Aku akan menulis tentang apa saja yang kuminati.
Selamat membaca.

Followers