Sunday, October 5, 2008

Begitukah akhlak pemimpin UMNO?

Meskipun Ahmad Zahid Hamidi bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan sudah lama menjadi ahli MT UMNO, tetapi apabila dia membuat pengumuman untuk menjadi salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO, banyak juga orang yang mempertikaikannya.

Dia dianggap masih "junior" dan belum layak untuk terus bertanding kerusi Timbalan Presiden. Malah ada juga yang menganggap dia seorang yang "gelojoh". Tambahan pula pengumuman itu dibuat sebelum Abdullah membuat kenyataan rasmi tentang penyerahan kuasa kepada timbalannya, Najib.

Apabila Ali Rustam pula membuat pengumuman untuk menjadi calon Timbalan Presdien UMNO, saya rasa tidak banyak orang yang mempertikaikannya, kerana Ali Rustam adalah penyandang jawatan Naib Presiden. Jadi tentu ada juga kewajarannya jika beliau nahukan jawatan yang lebih tinggi. Yang mungkin boleh dipertikaikan barangkali ialah kaliber Ali Rustam, iaitu beliaukah orangnya yang layak menyandang jawatan Timbalan Presiden?

Akan tetapi, apabila Nor Jazlan, seorang ketua bahagian pula membuat pengumuman untuk menjadi calon Timbalan Presdien UMNO, saya tidak tahu apakah dia hanya hendak kacau daun, hendak publisiti murah atau hanya hendak main-main?

Kita barangkali tidak perlu memperkecilkan Nor Jazlan. Tapi saya tidak tahu adakah di kalangan ahli UMNO ada yang menganggap dia layak menjadi calon, apatah lagi memegang jawatan itu?.

Saya kira sama ada dia bertindak secara serius atau main-main, tindakannnya itu tidak dapat tidak membayangkan juga akhlak seorang pemimpin UMNO.

Tidak ada untungnya dia membuat pengumuman itu, walaupun barangkali dia telah mendapat sedikit publisiti murah. Itu pun saya tidak tahu mengapa ada juga akhbar yang mahu menyiarkan pengumumannya itu.

Yang saya tidak tahu hendak jawab ialah, bagaimana jika ada orang bertanya, begitukah akhlak pemimpin UMNO?

Saturday, October 4, 2008

Khalid Ibrahim terpaksa "membuang masa"

Menarik juga melihat perubahan yang dilakukan oleh Khalid Ibrahim, MB Selangor baharu-baharu ini.

Ketika berlaku ribut yang merosakkan beberapa rumah penduduk di daerah Kelang tempoh hari, beliau tidak mahu berkunjung ke kampung itu, dengan alasan perbuatan itu "membuang masa".

Sebagaimana yang kita tahu, tindakan beliau itu telah mendapat kritikan daripada banyak pihak , dan dimanipulasi beliau oleh akhbar Utusan Malaysia dan lain-lain untuk memburukan beliau.

Oleh itu, tidaklah menghairankan, jika ketika berlaku kebakaran di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor semalam ( 4 September 2008), Khalid sanggup pula "membuang masa" dengan melawat mangsa kebakaran di kampung itu.

Sebenarnya, banyak yang dilakukan oleh pemimpin politik kita pada masa yang lalu dan sehingga kini, seperti melawat mangsa ribut, mangsa kebakaran, mangsa banjir, orang mati, orang sakit dan sebagainya adalah kerja yang "membuang masa". Kerja-kerja seperti itu sebenarnya menghalang mereka daripada membaca, membuat rujukan dan sebagainya yang lebih berkaitan dengan tugas mereka sebagai penggubal undang-undang dan pentadbir, sedangkan kerja-kerja itu bukan tidak ada jabatan dan pegawai kerajaan yang sepatutnya menanganinya.

Malangnya, sejak dulu hingga sekarang masyarakat kita saya rasa mempunyai persepsi yang salah, atau sekurang-kurangnya tidak tepat tentang tugas seorang pemimpin politik (khasnya wakil rakyat). Wakil rakyat seolah-olah hendak "dibebankan" dengan semua hal. Kalau dia melawat orang mati, adalah dianggap bagus sekali jika dia ikut memikul mayat hingga ke kubur.Kalau dia melawat majlis kenduri di kampungnya, adalah dianggap bagus sekali jika dia ikut membasuh pinggan!

Saya tidak menganggap hal itu sebagai betul dan perlu diteruskan selama-lamanya. Itu bukan tugas wakil rakyat yang hakiki. Dan rasanya bukan di negara-negara maju.

Dengan ikut memikul mayat atau mencuci pinggan, wakil rakyat itu mungkin akan menjadi wakil rakyat yang paling popular (seperti yang dilakukan oleh Cikgu Jabar, wakil rakyat kawasan Morib satu masa dahulu). Akan tetapi, dengan berbuat seperti itu dia tidak semestinya akan menjadi wakil rakyat yang baik dan berkesan.

Bagaimanapun, saya memahami juga, masyarakat kita lambat berubah. Budaya politik masyarakat kita (khasnya masyarakat Melayu) masih sanggat mengharapkan seorang pemimpin politik akan datang melawat apabila berlaku ribut, banjir, kebakaran dan sebagainya. Menunjukkan muka itu rupanya sangat penting bagi seorang pemimpin politik.

Ini memang realiti politik dan tuntutan politik semasa yang terpaksa dihadapi oleh pemimpin politik, khasnya wakil rakyat, MB, menteri dan sebagainya.

Khalid Ibrahim terpaksa memenuhi tuntutan politik ini untuk meneruskan kerjaya politiknya, walaupun dengan berbuat begitu dia sebenarnya "membuang masa".

Followers