Sunday, October 5, 2008

Begitukah akhlak pemimpin UMNO?

Meskipun Ahmad Zahid Hamidi bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan sudah lama menjadi ahli MT UMNO, tetapi apabila dia membuat pengumuman untuk menjadi salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO, banyak juga orang yang mempertikaikannya.

Dia dianggap masih "junior" dan belum layak untuk terus bertanding kerusi Timbalan Presiden. Malah ada juga yang menganggap dia seorang yang "gelojoh". Tambahan pula pengumuman itu dibuat sebelum Abdullah membuat kenyataan rasmi tentang penyerahan kuasa kepada timbalannya, Najib.

Apabila Ali Rustam pula membuat pengumuman untuk menjadi calon Timbalan Presdien UMNO, saya rasa tidak banyak orang yang mempertikaikannya, kerana Ali Rustam adalah penyandang jawatan Naib Presiden. Jadi tentu ada juga kewajarannya jika beliau nahukan jawatan yang lebih tinggi. Yang mungkin boleh dipertikaikan barangkali ialah kaliber Ali Rustam, iaitu beliaukah orangnya yang layak menyandang jawatan Timbalan Presiden?

Akan tetapi, apabila Nor Jazlan, seorang ketua bahagian pula membuat pengumuman untuk menjadi calon Timbalan Presdien UMNO, saya tidak tahu apakah dia hanya hendak kacau daun, hendak publisiti murah atau hanya hendak main-main?

Kita barangkali tidak perlu memperkecilkan Nor Jazlan. Tapi saya tidak tahu adakah di kalangan ahli UMNO ada yang menganggap dia layak menjadi calon, apatah lagi memegang jawatan itu?.

Saya kira sama ada dia bertindak secara serius atau main-main, tindakannnya itu tidak dapat tidak membayangkan juga akhlak seorang pemimpin UMNO.

Tidak ada untungnya dia membuat pengumuman itu, walaupun barangkali dia telah mendapat sedikit publisiti murah. Itu pun saya tidak tahu mengapa ada juga akhbar yang mahu menyiarkan pengumumannya itu.

Yang saya tidak tahu hendak jawab ialah, bagaimana jika ada orang bertanya, begitukah akhlak pemimpin UMNO?

No comments:

Followers