Monday, September 29, 2008

Semua pemimpin UMNO sayangkan kedudukan dan kuasa

Dalam politik Melayu, termasuk politik UMNO, tidak ada tradisi seseorang pemimpin itu meninggalkan atau melepaskan jawatannya dengan mudah. Seorang menteri mahu memegang jawatan itu berpuluh tahun. Seorang wakil rakyat pula mahu bergayut pada jawatannya sampai empat lima penggal.

Jika tidak digugurkan dan tidak mengalamai keuzuran, mungkin ada juga yang mahu memegang jawatannya sampai mati!

Antara sebabnya barangkali sebelum memegang jawatan itu pada umumnya mereka bukanlah "orang kaya". Hanya selepas memegang jawatan dan kuasa, barulah mereka dapat mengumpul harta dan kekayaan, dan ada kalanya dengan mudah pula.

Peluang mengumpul harta dan kekayaan itu mungkin terlepas dari tangan mereka selepas mereka tidak memegang jawatan lagi. Pada masa yang sama, dalam politik kita, kecuali seorang dua, seorang bekas pemimpin bukan saja tidak lagi dihormati, tapi begitu lekas dilupakan orang. Ini mungkin merupakan mimpi ngeri bagi seorang bekas pemimpin yang dahulunya begitu disanjung tinggi dan dihormati.

Oleh yang demikian, jika PM kita sekarang, Abdullah Badawi, nampaknya begitu sukar melepaskan jawatannnya, patut juga kita lihat dari perspektif ini.

Dan saya kira pimpinan UMNO yang lain, seperti ahli MT UMNO, juga tahu hal ini. Mereka pun termasuk dalam golongan yang tidak mudah berundur dari jawatan masing-masing.

Oleh yang demikian, jika ahli-ahli MT UMNO tidak keberatan memberi sedikit masa kepada Abdullah sebelum mengundurkan diri, sikap dan pendirian mereka mungkin perlu juga kita fahami dari perspektif ini.

Atas sikap yang sama dan kepentingan bersama, mereka nampaknya mahu memberi peluang kepada Abdullah supaya berundur secara terhormat; mungkin menjelang bulan Mac 2009 nanti.

Untuk menjustifikasikan hal itu, maka dikatakanlah itu "tradisi UMNO". Mungkin benar itu tradisi UMNO. Tapi yang tidak kurang benarnya ialah memang tidak ada dalam tradisi UMNO seseorang pemimpinnya akan melepaskan jawatannya dengan mudah!

Semua sayangkan kedudukan, pangkat dan kuasa, sebab melalui kedudukan, pangkat dan kuasa itulah mereka nampaknya begitu mudah mengumpul harta dan kekayaan.

No comments:

Followers